• PHB & MIM Umumkan Agihan Dividen Untuk Kesemua Pemegang Unit AHB

    by  • 09/04/2012 • Pelaburan • 0 Comments

     

    PHB & MIM Umumkan Agihan Dividen Untuk Kesemua Pemegang Unit AHB
    Dana unit amanah berasaskan Syariah yang pertama di Malaysia kekal memperkukuhkan pelaburBumiputera serta mempertingkatkan pemilikan hartanah Bumiputera

    Kuala Lumpur, 9 April 2012 ā€“Pelaburan Hartanah Berhad (“PHB”), sebuah anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (“YAHB”) dan Mayban Investment Management Sdn. Bhd. (“Mayban Investment Management”) telah mengisytiharkan agihan pendapatan interim 3.25 sen seunit yang akan melibatkan anggaran pembayaran berjumlah RM32 juta kepada pemegang-pemegang Unit Amanah Hartanah Bumiputera (“AHB”) atau (“Dana”) untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2012. Ini bersamaan dengan 6.50 peratus kadar pulangan tahunan apabila ditanda aras terhadap pendapatan 12 bulan Akaun-i Pelaburan Am, Maybank Islamic Berhad.

    Agihan pendapatan AHB, jika ada, akan dibuat pada setiap enam bulan bagi tempoh berakhir 31 Mac dan 30 September setiap tahun dan ianya dikecualikan daripada cukai. Pembayaran pertama untuk tahun ini akan dikreditkan terus ke dalam akaun-akaun bank pemegang unit pada 10 April 2012.

    Ini merupakan agihan pendapatan yang ketiga dibuat oleh AHB kepada pemegang-pemegang unit amanahnya. Tahun lepas, sejumlah RM50 juta telah dibayar – RM19 juta untuk agihan pendapatan pertama dan RM31 juta untuk agihan pendapatan kedua.

    Satu (1) bilion unit AHB ini telah mendapat sambutan yang baik di seluruh negara sejak ia diperkenalkan pada bulan November 2010 oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak. Dalam tempoh kurang daripada tiga (3) bulan, setiap unit telah dilanggani dengan sepenuhnya. Buat masa ini, jumlah jualan AHB mengikut negeri menunjukkan Wilayah Persekutuan mempunyai jumlah langganan tertinggi sebanyak 49.67%, diikuti oleh Selangor dengan 14.51%, Sarawak 6.67%, Sabah 5.84%, Johor 5.04%, Perak 3.66%, Kedah 3.54%, Penang 2.61%, Melaka 2.39%, Pahang, 1.73%, Terengganu 1.27%, Negeri Sembilan 1.21%, Kelantan 1.03% dan Perlis 0.84%.

    AHB adalah yang pertama seumpamanya yang menawarkan harga tetap RM1.00 seunit untuk dana unit amanah bersandarkan hartanah yang patuh Syariah yang membolehkan pelabur-pelabur Bumiputera menyertai pemilikan benefisial aset hartanah dengan pelaburan permulaan minimum sebanyak RM500. Dana ini diperkenalkan untuk pelabur-pelabur dengan selera risiko sederhana yang mahu menerima pendapatan kerap dan potensi hasil pulangan tinggi yang diperolehi melalui pelaburan-pelaburan strategik PHB di dalam hartanah-hartanah perdana di lokasi-lokasi pilihan di bandaraya-bandaraya utama di Malaysia. Dana ini boleh dilanggani di kesemua cawangan Maybank di seluruh negara.

    Dalam kenyataannya hari ini, Pengarah Urusan (“MD”) dan Ketua Pegawai Eksekutif (“CEO”) Mayban Investment Management, Encik Nor’ Azamin Salleh berkata, “Sambutan yang sangat baik dari pelabur-pelabur telah membuktikan bahawa dana ini sangat sesuai sebagai pilihan pelaburan dikalangan pelabur Bumiputera kerana ia menawarkan penyertaan pemilikan benefisial ke atas aset-aset hartanah, hasil pulangan yang kompetitif, pelaburan permulaan yang rendah dan juga ianya berasaskan Syariah.” Dana ini telah mengisytiharkan agihan pendapatan pertamanya sebanyak 2.17 sen untuk tempoh kira-kira empat bulan berakhir 31 Mac 2011. Kemudian, untuk tempoh enam bulan berakhir 30 September 2011, Dana ini mengisytiharkan agihan pendapatan yang kedua sebanyak 3.25 sen seunit.

    Datuk Kamalul Arifin Othman, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB berkata, “PHB sudah pastinya sedang meneruskan rancangan untuk mengembangkan saiz Dana sebagai salah satu usaha berterusannya untuk memupuk kesaksamaan di dalam pemilikan Bumiputera di dalam hartanah komersil perdana negara, dan juga menawarkan kaedah mencipta kekayaan yang selamat serta mampu dimiliki oleh semua orang menerusi pelaburan-pelaburan disekuritikan. Untuk memastikan portfolio PHB kekal kompetetif, inisiatif-inisiatif yang padu telah dilaksanakan secara aktif untuk memperolehi gabungan hartanah-hartanah yang lebih dinamik. Kami juga telah melancarkan aktiviti-aktiviti seperti Program Peningkatan Aset untuk menambahbaik bangunan-bangunan kami untuk memastikan portfolio-portfolio di bawah PHB terus mengekalkan tarikan dan nilainya di dalam pasaran.”

    Sejajar dengan rancangan pengembangan Dana ini, Datuk Kamalul Arifin menambah PHB akan terus mencari aset-aset baru untuk disuntik ke dalam AHB. “Untuk menyediakan aliran pendapatan yang baik dan konsisten untuk pelabur-pelabur kami, PHB sedang berusaha untuk membeli lebih banyak aset-aset siap dan yang mendatangkan pulangan, mengembangkan bank tanahnya dan menceburiĀ  di dalam lebih banyak projek-projek pembangunan hartanah. Di dalam melaksanakan semua ini dan juga demi memastikan pulangan yang lebih tinggi, kualiti sudah pastinya lebih penting daripada kuantiti,” tambah Datuk Kamalul Arifin lagi.

    Tahun lepas, PHB telah menambah sebuah lagi hartanah siap ke dalam senarai tujuh hartanah siap sekitar Lembah Kelang menerusi pemerolehan Hospital Pakar DEMC (“DEMC”), sebuah hospital pakar 9 tingkat bertempat di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Selain daripada DEMC, hartanah-hartanah PHB yang lain termasuklah Blok D Peremba Square di Saujana Resort, Menara Bumiputera-Commerce di Jalan Raja Laut, CP Tower di Petaling Jaya, Wisma Consplant di Subang Jaya, Tesco Setia Alam, Menara Prisma di Putrajaya dan juga Gudang Logistik di Shah Alam.

    Pada Oktober 2011, PHB telah memeterai satu perjanjian untuk melaksanakan projek pembangunan hartanah bersama Hospital Gleneagles Kuala Lumpur (“Gleneagles Kuala Lumpur”). Projek ini melibatkan perluasan Gleneagles Kuala Lumpur yang merangkumi kawasan lantai kasar seluas 300,000 kaki persegi. Kos kasar pembangunan ini adalah di dalam anggaran RM138 juta. Projek ini melibatkan pembangunan kemudahan hospital 10 tingkat yang baru dengan tempoh penyewaan selama 15 tahun kepada Gleneagles Kuala Lumpur dan pilihan untuk penyambungan penyewaan selama 15 tahun seterusnya. Buat masa ini, projek ini sedang terlaksana dengan baik dan dijangkakan siap sepenuhnya mengikut rancangan penyiapannya dalam tempoh 3 tahun.

    Bercakap tentang penglibatan PHB dalam industri kesihatan, Datuk Kamalul Ariffin berkata bahawa langkah tersebut adalah wajar memandangkan industri tersebut sedang giat berkembang di rantau ini dan ia juga menepati polisi patuh Syariah yang diamalkan oleh PHB.

    AHB diuruskan oleh Mayban Investment Management, ditaja oleh PHB sementara pemegang amanah Dana ini adalah AmanahRaya Trustees Berhad.

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

    About

    Berkelulusan BEng (Hons) Communication(UniMAP) & Dip Electronic Eng (PUO), kini bekerja sebagai eksekutif di GLC terkemuka di Malaysia. Merupakan penulis utama Mfadhlan.com. Berpengalaman di bidang bisnes peruncitan, asas keusahawanan, pengurusan kewangan serta takaful. Jika anda musykil mengenai sebarang info yang dikongsikan, disarankan anda merujuk kepada pakar yang bertauliah terlebih dahulu. Penulis tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerugian di pihak anda.

    http://www.mfadhlan.com

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge